web stats

Tuesday, May 6, 2014



DEFINISI MEMBACA




Definisi membaca yang dikemukakan oleh beberapa tokoh

Definisi yang diberikan oleh Smith & Johnson (1980) lebih berkait dengan proses membaca sebagai satu proses komunikasi antara pembaca dan penulis. Membaca menurut meraka ialah proses memahami apa yang dimaksudkan oleh penulis menerusi bahan yang dihasilkannya dalam bentuk paparan bertulis. Keupayaan membaca ialah keupayaan membuat tanggapan terhadap apa yang ingin dimaksudkan oleh penulis. Definisi ini ialah sepadan dengan definisi yang dikemukakan oleh Safiah Othman (1991), iaitu selagi seseorang tidak memahami apa yang dibaca maka dia belum lagi membaca. Definisi ini bermaksud pemberian makna terhadap bahan yang dibaca adalah penting bagi mengatakan bahawa seseorang itu berkeupayaan membaca atau mempunyai kemahiran membaca. Selagi beliau mempunyai masalah dalam proses memberi makna ini, maka selagi itulah beliau belum membaca.

Harris dan Sipay (1980) dalam memberikan definisi membaca menegaskan keperluan seseorang itu perlu mahir atau dapat membaca lambang-lambang bercetak bagi memberikan makna terhadap lambang yang dibacanya. Definisilah yang banyak digunakan bagi mengukur keupayaan seseorang, sama ada dia “celik huruf” atau “buta huruf”. Seseorang yang dapat membaca menurut definisi Harris dan Sipay ini ialah orang yang dapat membezakan antara lambang yang bertulis dalam sesuatu bentuk tulisan tertentu dan lambang yang bukan bertulis, iaitu dalam bentuk lukisan bagi mengungkap sesuatu objek atau konsep tertentu. Namun demikian, banyak tulisan yang terdapat di dunia ini adalah merupakan lambang lukisan yang dipermudahkan. Sebagai contoh aksara Cina, Jepun, Korea dan beberapa lagi sistem tulisan pelbagai aksara di dunia ini merupakan lambang lukisan yang mewakili sesuatu objek atau konsep yang ingin dimaksudkan. Lukisan tersebut kemudiannya menjadi lambang dalam sistem penulisan yang tekal dan diikuti oleh pengguna bahasa tersebut sehingga ke hari ini.

Seterusnya definisi yang diungkapkan oleh Goodman (1973) pula terdapat sedikit perbezaan daripada definisi yang dikemukakan oleh ketiga-tiga tokoh diatas. Goodman telah membuat kajian tentang kebolehbacaan, iaitu bagi merungkai persoalan sejauhmanakah sesuatu bahan tersebut dapat dibaca oleh seseorang pelajar membaca. Goodman pernah menyatakan bahawa membaca adalah satu permainan teka-teki. Hal ini bermaksud, pembaca seolah-olah bertka-teki dengan bahan  bercetak yang dibacanya. Maksudnya disini pembaca tidak semestinya mengetahui ungkapan kata-kata yang terdapat pada bahan yang dibacanya, tetapi beliau membuat tekaan terhadap sesuatu perkataan itu berdasarkan maksud yang palinh hampir dengan perkataan yang beliau tidak pasti.

Selain itu, definisi lain ialah definisi yang dikemukan oleh Mahzan (2003) menegaskan bahawa membaca ialah proses membina jambatan antara apa yang terdapat dipermukaan penulis dengan apa yang terdapat di minda pembaca. Definisi ini dikemukan berdasarkan satu teori bacaan yang amat berpengaruh sekitar tahun 1990-an iaitu teori skema. Teori ini menyatakan bahawa seseorang hidup dengan mengumpul seberapa banyak maklumat di dalam mindanya berlandaskan apa sahaja pengalaman yang dihadapi dalam hidupnya ini. Pengalaman latar ini akan kekal dalam mindanya dan digunakan bagi memperkayakan lagi mindanya dengan pengalaman yang baru. Semakin banyak pengalaman latar yang dikumpul, semakin kayalah mindanya. Pepatah melayu ada mengatakan, semakin jauh perjalanan, semakin luas pengalaman. Perjalanan bukan sahaja bermaksud dalam jarak atau lokasi dan tempat, tetapi pengalaman juga diperolehi menerusi pelbagai peristiwa yang dilalui.

Proses membaca menurut Mahzan ialah proses mengaitkan apa yang terdapat dalam minda seseorang dengan apa yang dibacanya dipermukaan bertulis. Semakin banyak yang diketahui tentang isu yang diungkap dalam bahan bertulis, semakin mudahlah beliau memahami apa yang dibaca.

PENTAKSIRAN MEMBACA

*      Pentaksiran adalah suatu proses yang meliputi pelbagai kaedah untuk menentukan tahap sesuatu ciri atau  yang diperolehi seseorang pelajar bacaan setelah mengalami proses pengajaran dan pembelajaran. Kesahihan bukti yang digunakan bagi proses penaksiran sangat bergantung pada sejauh mana guru berupaya mengkuantifikasikan dengan tepat kewujudan atribut atau ciri penguasaan pelajar yang digunakan sebagai asas penaksiran Pengukuran pula merupakan suatu proses kuantifikasi dengan memberi nilai angka kepada kewujudan sesuatu ciri dan atribut. Dalam proses pengajaran dan pembelajaran membaca, kewujudan ciri “penguasaan” sesuatu kemahiran membaca yang diajarkan oleh guru pada pelajar dikuantifikasikan dengan memberi skor ujian yang boleh digunakn untuk mentafsir matlamat dan objektif pembelajaran bacaan. 


pentaksiran, ia boleh dibahagikan kepada 4 kategori, iaitu  :


*      Pentaksiran Berasaskan Prestasi. 

  Pentaksiran kategori ini sama dengan pentaskiran sumatif kerana ia berfokuskan pencapaian. Biasanya ia berkait dengan pentaksiran berasaskan standard yang menggunakan tindak balas yang bebas berasaskan soalan-soalan yang standard. Tugasan yang diberikan itu didefinisikan dengan sempurna dan murid diarahkan mencipta, penghasilkan atau melakukan sesuatu, biasanya ia melibatkan aplikasi pengetahuan dan kemahiran dalam dunia sebenar. Prestasi murid diukur daripada produk yang dihasilkan seperti mengecat, portfolio, pameran, atau kemungkinan sesuatu persembahan seperti ucapan, kemahiran atlit, muzik dan membaca. 


*      Pentaksiran Internal dan Eksternal. 

     Pentaksiran internal ditentukan dan disemak oleh sekolah (guru). Murid mendapat markah dan maklum balas daripada pentaksiran yang telah dibuat. Pentaksiran eksternal pula ditentukan oleh sesuata badana tau sindiket seperti Majlis Peperiksaan Malaysia. Kertas pentaksiran ditandakan oleh pakar dari luar. Murid hanya mendapat markah pentaksiran sahaja dan mereka tidak dimaklumkan tentang kelemahan mereka.

*      Pentaksiran Sumatif. 

    Pentaksiran sumatif biasanya dilakukan pada akhir sesuatu kursus atau projek. Dalam  pendidikan, pentaksiran sumatif digunakan untuk memberikan gred kursus yang diambil  kepada pelajar.

*      Pentaksiran formatif. 

   Pentaksiran formatif biasanya diberikan kepada murid sepanjang sesuatu kursus atau projek. Pentaskiran formatif juga merujuk kepada pentaksiran pembelajaran, iaitu sebagai salah satu strategi membantu murid belajar. Dalam pendidikan, pentaksiran formatif ini mungkin berlaku kepada guru atau murid, memberikan maklum balas terhadap kerja murid, dan tidak semestinya dengan memberikan gred kerana tujuan pentaksiran jenis ini bukan untuk membandingkan pencapaian murid.

PENDEKATAN DALAM MENGAJAR MEMBACA


                                  i.        Abjad / huruf
•        Kaedah yang paling biasa digunakan dalam mengajar mengeja dan membaca perkataan.
•        Kaedah ini memerlukan kanak-kanak untuk mengenal nama huruf dari a-z. kemudian kanak-kanak diajar mengenali huruf vokal a, e, i, o, u, huruf konsonan dan diftong ai, au, dan oi.
•        Selepas itu, bunyi-bunyi huruf diperkenalkan dan huruf-huruf ini digabungkan bagi membentuk suku kata dan seterusnya perkataan. 

         Kelebihan;

1.   sesuai dengan binaan perkataan bahasa Melayu yang terdiri daripada suku kata yang tetap bunyinya.
2.   Kaedah ini juga membolehkan kanak-kanak mengeja perkataan-perkataan baru yang belum dipelajari.
3.   Memberi asas yang kukuh dalam membaca.


    ii.        Pandang dan sebut / seluruh perkataan

•    Kaedah ini sangat popular dalam mengajar bacaan dalam bahasa Inggeris.
•  Melalui kaedah ini, pengajaran membaca adalah berdasarkan perkataan-perkataan yang biasa digunakan seharian yang membentuk kebanyakan pertuturan kita seperti saya, makan, tidur, main, emak, ayah dan sebagainya.
•  Guru akan memperkenalkan beberapa perkataan dahulu dan diulang berkali-kali menyebutnya. Kebiasaannya, perkataan tersebut disertakan dengan gambar dan mengandaikan bahawa murid belajar secara pandang (visual).
•   Kaedah ini tidak menggunakan aktiviti mengeja sama sekali.
•    Guru digalakkan menggunakan kaedah fonik iaitu menghubungkan satu huruf dengan satu bunyi sekiranya murid tidak dapat menyebut perkataan tertentu.



  iii.          Fonek / bunyi

•        Kaedah ini adalah antara kaedah mengajar bacaan yang digemari oleh guru.
•        Kaedah ini menekankan hubungan bunyi-bunyi dengan huruf-hurufnya.
•        Kaedah ini sesuai digunakan kerana susuk bahasa Melayu yang terdiri daripada suku kata yang tetap bunyinya.
•        Menurut kaedah fonik, hanya bunyi huruf yang diperkenalkan terlebih dahulu dan diikuti dengan membunyikan suku kata dan seterusnya membunyikan perkataan.
•        Dalam bidang fonetik, huruf tidak dieja tetapi terus dibunyikan. Contohnya;

1.       a disebut aa
2.       b disebut be
3.       c disebut ce

•        Dan begitulah bagi huruf-huruf dan suku kata yang lain. Sebagai contohnya ka + ki terus disebut sebagai [ka] + [ki] dan seterusnya disebut sebagai [kaki].

   iv.        Gabungan bunyi – kata (dari nama huruf dan bunyi kepada perkataan)

•        Diperkenalkan oleh Professor Isahak Haron.
•        Dalam kaedah ini, pelajar diajar langkah demi langkah, mulai dengan bunyi huruf digabungkan dengan nama huruf (abjad) dan bentuk huruf.
•        Kemudian, mereka membina suku kata dan seterusnya perkataan.

•        Latih tubi mengeja adalah perlu berdasarkan perkataan pelbagai deria. 

PEMILIHAN BAHAN BACAAN

Secara umumnya,bahan bacaan merangkumi buku,akhbar,majalah dan lain-lain lagi. Oleh itu,guru-guru sering menghadapi masalah dalam memilih bahan bacaan untuk pelajar. Kesesuaian sesuatu bahan bacaan itu akan mempengaruhi kejayaan bahan bacaan di sesuatu tempat. Pemilihan bahan bacaan amat penting dan haruslah disesuaikan mengikut peringkat umur seseorang pembaca tersebut. Ini kerana setiap buku mempunyai kosa kata bahan bacaan yang berbeza. Contohnya,bagi kanak-kanak yang baru bermula belajar ibu bapa mereka akan membeli buku yang bermula dengan perkataan ABC.
Setiap pelajar perlu mempunyai arah dan hala tuju dalam memilih sesuatu bahan bacaan. Mereka boleh mendapatkan garis panduan daripada guru-guru di sekolah mereka mahupun ibu bapa mereka. Walau bagaimanapun,faktor-faktor untuk memilih bahan bacaan seseorang pelajar itu akan berubah mengikut keperluan pembelajaran.
Terdapat 2 jenis bahan bacaan yang dapat dipilih oleh pelajar iaitu bahan bacaan fiksyen dan bukan fiksyen.Contoh-contoh bahan bacaan fiksyen dan bukan fiksyen:

Bahan bacaan fiksyen

•        Cerpen
•        Cerita Dongeng
•        Novel

Bahan bacaan bukan fiksyen

•        Sejarah 
•        Geografi
•        Sains
•        Bahasa 
•        Pengetahuan Am
•        Buku-buku falsafah

Mengikut garis panduan pemilihan bahan bacaan tambahan bagi kegunaan sekolah,terdapat beberapa kriteria yang perlu diikuti:


i.  Bahasa

Bahan bacaan tambahan yang dipilih haruslah bersesuaian dari segi laras dan aras bahasa mengikut keperluan dan tahap murid.
Perkara-perkara berikut haruslah dielakkan:
•        Penggunaan istilah yang boleh menimbulkan isu sensitif
•        Penggunaan bahasa yang tidak sesuai dengan budaya masyarakat Malaysia.


ii.  Kandungan


Kandungan bahan bacaan tambahan yang dipilih hendaklah yang boleh diajar kepada murid dan dapat menyokong matlamat pengajaran dan pembelajaran. Maklumat atau fakta yang dipersembahkan hendaklah betul dan tepat.


iii.  Ilustrasi

Ilustrasi yang digunakan hendaklah dapat menyokong dan menerangkan teks bagi membantu meningkatkan kefahaman murid. Ilustrasi mestilah bersesuaian dengan aras dan keperluan murid mengikut budaya masyarakat Malaysia.


Jenis-jenis bahan Bacaan

1. Bahan Bacaan Mekanis (Bersuara)

Membaca bersuara sering juga menggunakan nama-nama yang berbeza seperti membaca mekanis, membaca oral dan membaca nyaring. Walau apa pun nama yang digunakan, membaca mekanis ini merupakan satu aktiviti membaca yang disuarakan dengan jelas untuk menangkap dan memahamkan informasi, fikiran dan perasaan seseorang pengarang.

Orang yang membaca harus mempunyai kemampuan untuk memaknakan apa sahaja yang tersirat dalam bahan-bahan yang dibaca. Lazimnya, ia harus memiliki kecepatan mata yang tinggi serta pandangan mata yang jauh. Ia juga harus boleh mengelompokkan kata-kata dengan baik dan cepat agar jelas maknanya bagi para pendengar.

Membaca mekanis merupakan satu keterampilan yang serba rumit dan kompleks yang menuntut pengertian terhadap aksara di atas halaman kertas dan memproduksi suara yang tepat dan bermakna. Dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa, membaca mekanis yang digunakan lebih tertumpu kepada usaha menganalisis pengucapan (pronounciation) daripada pemahaman. Membaca mekanis adalah satu teknik yang mampu memenuhi pelbagai ragam tujuan serta mengembangkan sejumlah ketrampilan serta minat.

Untuk membolehkan penguasaan membaca nyaring atau membaca secara mekanis ini, pembaca haruslah terlebih dahulu dapat  menguasai keterampilan persepsi yang melibatkan penglihatan dan daya tanggap yang membolehkan kita mengenal, memahami kata-kata dengan cepat dan tepat. Aspek lain yang sama pentingnya adalah kemampuan mengelompokkan kata-kata dalam satu kesatuan fikiran serta membacanya dengan baik dan lancar.

Bacaan bersuara ialah bacaan mekanis yang menyuarakan tulisan dengan sebutan yang jelas dan terang, dengan intonasi dan irama mengikut gaya membaca yang betul dengan menggerakan alat-alat pertuturan.


2. Bahan Bacaan Mentalis (Senyap)

Membaca senyap atau membaca dalam hati (silent reading) ialah kegiatan membaca yang melibatkan ingatan visual (visual memory) dan pengaktifan mata dan ingatan. Tujuan utama membaca jenis ini adalah untuk memperoleh informasi dan pemahaman. Dibandingkan dengan membaca nyaring, membaca dalam hati atau membaca senyap adalah lebih ekonomis, dan serta dilakukan di mana-mana sahaja.

Biasanya, membaca dalam hati atau senyap ini melibatkan dua jenis bacaan, iaitu membaca insentif dan membaca ekstensif. Kedua-duanya mempunyai ciri-ciri yang tersendiri. Oleh itu, bacaan senyap ialah bacaan yang disuarakan dalam hati atau menukar isi bacaan kepada maknanya tanpa mengeluarkan suara. Kelajuan bacaan senyap lebih pantas daripada bacaan bersuara kerana beberapa perkara yang dilakukan dalam bacaan bersuara seperti nada suara, sebutan yang jelas dan sebagainya tidak diperlukan dalam bacaan senyap. Bacaan senyap ini dijalankan sesudah murid-murid mencapai kemahiran dan kecekapan bacaan bersuara.


3. Bahan Bacaan Intensif (Pantas dan Imbasan)

Bacaan intensif ialah kegiatan membaca yang menuntut ketelitian dan dilakukan secara saksama yang melibatkan telaah isi dan pandangan terperinci sesuatu bahan bacaan. Dua perkara yang dilibatkan dengan bacaan insentif ini adalah membaca telaah isi dan membaca telaah bahasa. Dalam telaah isi ini, membaca teliti, membaca pemahaman, membaca kritis dan membaca idea adalah ditekankan.

Bacaan intensif adalah bacaan yang pada asasnya bertujuan memperkembangankan kebolehan dalam meneliti, memahami dan mentafsir apa sahaja yang dibaca dengan tepat. Bacaan tersebut juga memberi penekanan kepada kajian terhadap ciri-ciri tatabahasa, meneliti pembentukan dan penggunaan perkataan, serta pemakaian bahasa itu dalam konteks dan situasi yang berlainan.

Bacaan intensif boleh juga boleh dibaca dengan pelbagai dua cara salah satunya ialah membaca pantas. Bacaan pantas adalah satu bentuk kegiatan membaca yang dilakukan dengan kadar kelajuan tertentu dan tujuannya adalah untuk menjimatkan masa. Walau bagaimanapun, membaca yang terlalu pantas tidak semestinya baik. Sebaik-baiknya, kadar kelajuan membaca haruslah disesuaikan dengan apa yang dibaca dan tujuan membaca ketika itu.



Membaca yang dilakukan dalam keadaan yang terlalu pantas akan menyebabkan pembaca kehilangan isi-isi penting yang diperlukan atau gagal menggarap keseluruhan konsep yang cuba diketengahkan. Walau bagaimanapun, membaca yang terlalu perlahan tidak pula menguntungkan kerana hanya akan membazirkan masa. Membaca pantas hanya boleh berlaku melalui bacaan senyap atau membaca dalam.

Ini kerana dalam bacaan kuat atau bersuara, pembaca akan menurunkan keupayaan membaca mereka pada kadar kelajuan bercakap. Sewaktu membaca kuat, pembaca akan melibatkan pergerakan bibir dan lain-lain alat pengucapan manusia.

Selain daripada membaca pantas keduannya ialah bacaan imbasan yang juga dikenali sebagai scanning adalah kegiatan membaca yang dilakukan secara sepintas lalu. Hal ini disebut sebagai membaca tinjauan. Biasanya.sebelum kegiatan membaca itu dilakukan, pembaca akan meneliti terlebih dahulu bahagian-bahagian buku atau apa sahaja yang harus ditelaah. Hal ini dilakukan untuk mendapatkan maklumat awal dan gambaran keseluruhan tentang buku tersebut sebelum ia menjadi pilihan untuk dibaca.

Membaca sepintas lalu ini melibatkan pembaca memeriksa, meneliti indeks, melihat daftar kata yang terdapat dalam buku tersebut. Kadang kala proses melihat-lihat, memeriksa dan meneliti judul-judul bab juga dilakukan. Hal ini juga berlaku pada skema, rangka kasar buku, bahagian bibliografi, kandungan prakata, pendahuluan, sinopsis, abstrak dan sebagainya



4. Bahan Bacaan Ekstensif

Membaca ekstensif ialah kegiatan membaca secara luas. Objeknya meliputi sebanyak mungkin teks dalam jangka waktu yang singkat. Tujuan atau tuntutan kegiatan membaca ekstensif adalah untuk memahami isi yang penting-penting dengan cepat dan ia menganjurkan aktiviti membaca yang berkesan. Membaca ekstensif biasanya melibatkan perkara-perkara yang berikut:


a. Membaca tinjauan (survey reading)

Membaca tinjauan (survey reading) dilakukan sebelum kita memulakan sesuatu bacaan. Biasanya, kita akan meneliti apa yang akan kita telaah itu terlebih dahulu. Hal ini mungkin melibatkan kita memeriksa, meneliti indeks dan daftar kata yang terdapat dalam buku-buku tersebut atau mungkin kita akan melihat-lihat atau meneliti judul, bab, rangka besar, kandungan dan sebagainya. Latar belakang pengetahuan seseorang akan menentukan tepat atau tidaknya, cepat atau lambatnya tinjauan dapat dilakukan.


b. Membaca sekilas (skimming)

Membaca sekilas (skimming) adalah sejenis kegiatan membaca yang melibatkan mata bergerak dengan cepat melihat, memperhatikan bahan-bahan bertulis untuk mencari dan mendapatkan maklumat dan penerangan.

Skimming adalah satu bentuk kegiatan membaca yang dilakukan secara sekilas pandang. Biasanya, melalui proses skimming, mata bergerak dengan cepat, melihat memerhatikan bahan bertulis untuk mendapatkan maklumat atau penerangan dengan serta-merta.

Satu daripada tujuan membaca sekilas adalah untuk mendapatkan kesan umum daripada sesebuah teks yang akan ditelaah. Pembaca mungkin akan melakukannya dengan jalan meneliti halaman judul, kata pengantar, daftar isi, gambar dan diagram, indeks dan sebagainya. Daripada tindakan begini, pembaca akan mendapat satu pandangan atau gambaran yang lebih baik dengan mempelajari sifat, hakikat dan jangkauan buku tersebut, susunan dan organisasinya.

Satu lagi tujuan membaca sekilas adalah untuk menemukan hal-hal tertentu. Lazim juga digunakan untuk menemukan bahan-bahan daripada pusat sumber atau perpustakaan. Membaca sekilas merupakan satu keterampilan yang sangat berfaedah sekiranya tidak disalahgunakan. Sekiranya kita dapat menggunakan dengan bijaksana, iaitu menggunakannya secara tepat dan cerdas, kita akan kagum betapa banyaknya maklumat dan fakta yang boleh perolehi dalam satu jangka masa yang singkat.



c. Membaca dangkal (superticial reading)

Membaca dangkal yang disebutkan juga sebagai superficial reading adalah bertujuan untuk mendapatkan pemahaman yang dangkal yang bersifat luaran atau tidak mendalam daripada sesuatu bahan bacaan. Bacaan ekstensif ialah bacaan meluas yang menekankan aktiviti–aktiviti membaca yang dilakukan di luar kelas. Bacaan ekstensif biasanya menitikberatkan aspek pengukuhan asas bacaan, menambah kemahiran memaham dan menaakul isi bacaan, meningkatkan kepantasan membaca. Membina dan mengukuhkan minat membaca dan kebolehan memetik isi-isi penting.



5. Bahan Bacaan Rekreasi

Membaca rekreasi adalah satu lagi bentuk kegiatan membaca yang tidak melibatkan perahan otak yang begitu serius. Bacaan jenis ini adalah untuk tujuan bersenang-senang dan dilakukan dalam keadaan bersantai. Bahan-bahan bacaannya adalah yang terdiri daripada bahan-bahan ringan yang dapat merangsang kepuasan dan menghiburkan. Lazimnya bahan-bahan yang dibaca ialah komik, cerita-cerita pendek, informasi tertentu, berita, bahan sastera dan pelbagai bentuk pengetahuan yang menyenangkan.


6. Bahan Bacaan Kritis

Bacaan kritis ialah kegiatan membaca yang dilakukan secara bijaksana, penuh ketelitian, mendalam, evaluatif serta analitis. Bacaan tersebut tidak hanya tertumpu kepada kesalahan-kesalahan atau kelemahan yang terdapat dalam bahan-bahan yang dibaca. Membaca kritis biasanya berdasarkan keupayaan memahami yang tinggi.

Proses bemula dengan penggalian yang mendalam di bawah permukaan untuk menemukan bukan hanya keseluruhan kebenaran tentang apa yang diperkatakan, tetapi juga menemukan alasan-alasan mengapa penulis mengetengahkan perkara yang dibincangkan itu.


MASALAH MEMBACA



Masalah dalam membaca ini semakin hari semakin membimbangkan kerana terdapat segelintir pelajar yang belum tahu membaca walaupun sudah memcapai usia yang sepatutnya. Keadaan ini bukan sahaja berlaku di sekolah rendah tetapi juga turut berlaku di sekolah menengah. Masalah yang berlaku ini boleh dikategorikan kepada dua iaitu umur akal dan umur biologi. Umur akal ini ialah istilah yang digunakan bagi pelajar yang tidak dapat membaca pada usia yang sepatutnya yang berdasarkan umur biologi atau dengan kata lain umur seseorang pelajar yang diukur berdasarkan kurikulum rasmi pendidikan di sekolah sebagai contoh tahun satu. Seterusnya, umur biologi ialah umur yang dikira sejak seseorang itu lahir lagi.
            Menurut Mahzan Arshad,(2009), terdapat dua faktor yang menyebabkan masalah membaca. Faktor tersebut ialah faktor dalaman dan juga faktor luaran. Bagi faktor dalaman, faktor yang terlibat ialah faktor fizikal dan juga faktor neorologikal. Antara kecacatan fizikal yang mempengaruhi keupayaan membaca ialah :

a)    Masalah atau kecacatan penglihatan 

Dalam keadaan ini, terdapat banyak punca yang 
akan menganggu keupayaan membaca. Antara punca 
tersebut ialah juling, rabun jauh, rabun dekat, Amblyopiks 
dan juga Astigmatism. Punca-punca ini yang 
mendatangkan masalah kepada kanak-kanak khasnya 
untuk menggunakan penglihatan mereka untuk aktiviti 
membaca. Masalah yang timbul pada peringkat awal ini 
yang akan mendatangkan masalah yang teruk pada 
proses mendekod.

b)   Masalah pertuturan

Dalam masalah pertuturan, punca utama yang menjadi penyebab kepada masalah ini ialah masalah tumbesaran, pendengaran, masalah dalam pertumbuhan kerongkong, masalah sumbing dan juga kecederaan pada otak sama ada kecederaan yang serius ataupun tidak. Walau bagaimanapun, masalah-masalah ini tidak akan mengakibatkan keupayaan membaca dan sekiranya terdapat kesan sekalipun tetapi kesan tersebut hanya kepada psikologi sahaja.

c)    Masalah pendengaran

Masalah pendengaran ini akan menyebabkan pelajar menghadapi kesukaran yang amat dalam menuntut ilmu. Walau bagaimanapun, masalah pendengaran yang ringan boleh dirawat melalui rawatan yang sesuai. Pelajar yang menghadapi ini akan berhadapan dengan kesukaran dalam membezakan bunyi konsonan dan juga bunyi vokal. Dalam masalah pendengaran ini, terdapat dua jenis kecacatan iaitu kecacatan sementara dan juga kecacatan kekal. Kecacatan pendengaran yang sementara ini boleh dirawat dengan cara membersihkan telinga dan juga mengambil antibiotik. Seterusnya, kecacatan pendengaran yang kekal ini pula perlu merujuk kepada doktor-doktor yang lebih pakar untuk membolehkan rawatan yang sempurna diberikan kepada para pelajar.

Faktor dalaman yang seterusnya ialah faktor neurologikal. Faktor ini juga turut menyebabkan masalah dalam membaca. Terdapat beberapa faktor yang terdapat dalam faktor neurologikal iaitu :

a.    Faktor keturunan

Masalah faktor ini dapat diatasi dengan cara mengubah sikap ibu bapa para pelajar. Sebagai contoh ibu bapa menunjukkan minat mereka terhadap bahan bacaan dan berminat terhadap kejayaan anak-anak mereka dalam pelajaran. Selain itu, ibu bapa juga boleh menunjukkan model bahasa kepada anak-anak mereka.

    


 b.     Faktor Emosi

Faktor ini terjadi apabila pelajar yang gagal atau tidak tahu membaca akan mempunyai rasa rendah diri, terasing, tidak bermotivasi, kecewa, malas, gagal dan sebagainya.





c.    Faktor Kerosakan Otak

Faktor kerosakan otak ini adalah disebabkan oleh kecederaan, penyakit atau bahan toksik yang telah mencemarkan otak atau di bahagian otak.

d.    Faktor Disleksia

Faktor diskleksia ialah satu gangguan dalam pembelajaran yang dialami oleh seorang kanak-kanak sejak kecil lagi dan keadaan ini berlanjutan sehingga kanak-kanak itu dewasa. Terdapat segelintir pengidap penyakit disleksia ini mempunyai masalah untuk menyebut perkataan yang panjang dan kesukaran untuk mengikuti urutan perkataan seperti nama bulan, urutan hari dan juga sifir.





Terdapat faktor yang tergolong dalam faktor luaran. Antara faktor tersebut itu ialah :
     i.        Faktor persekitaran

Dalam faktor persekitaran, persekitaran di rumah memainkan peranan yang sangat penting dalam menentukan kebolehan membaca seseorang. Ini termasuklah tahap pendidikan ibu bapa, kegiatan sosiobudaya, pendapatan ahli keluarga, kestabilan emosi, corak interaksi dan juga komunikasi serta sikap seseorang atau ibu bapa terhadap pembelajaran. Ibu bapa seharusnya menjadi model dalam tingkah laku, tabiat dan suka membaca. Keluarga juga memainkan peranan dalam memupuk minat membaca dalam kalangan anak-anak mereka sebagai contoh mereka boleh menyediakan bahan bacaan yang boleh menarik minat anak-anak untuk membaca di rumah. Hal ini demikian kerana penyediaan bahan bacaan ini boleh mempengaruhi minat membaca anak-anak. Persekitaran di sekolah juga memainkan peranan penting dalam memupuk minat membaca dalam kalangan murid-murid. Tingkah laku guru di dalam kelas juga amat mempengaruhi kebolehan mambaca para pelajar. Sebagai contoh, guru perlu menyediakan bahan bacaan yang sesuai, jenis soalan yang baik dan memberi dorongan serta pengukuhan kepada para pelajarnya.

Langkah untuk mengatasi masalah dalam membaca :

1.     Mengadakan ujian saringan dan ujian diagnostik
Ujian ini dijalankan adalah untuk mengenalpasti masalah yang dihadapi oleh para pelajar. Fungsi ujian saringan ini ialah untuk mengetahui tahada dan pencapaian para pelajar dalam kemahiran membaca. Seterusnya, fungsi ujian diagnostik ialah untuk mengenal pasti simptom psikologi, fizikal, psikososial dan persekitaran yang ditunjukkan oleh pelajar yang berkenaan yang berkaitan dengan masalah pembelajaran khususnya dalam membaca.

2.    Program kelas intervensi awal Membaca dan Menulis (KIA2M)

Program ini bertujuan untuk membantu para pelajar yang belum menguasai kemahiran membaca dan menulis dalam Bahasa Melayu pada usia 7 tahun iaitu pada tahun satu.



3.    Literasi, numerasi dan saringan (LINUS)

Program ini dirancang dan dibentuk sebagai penambaikan progaram yang tersedia ada iaitu KIA2M. Ini bertujuan untuk memastikan semua pelajar Tahun satu dapat menguasai asas membaca, menulis dan mengira.